Anti Persekutuan 1948

Wednesday, August 12, 2009

ISU HAK KERAKYATAN: RESPONS ANTARA KAUM (1946-1948)

Selepas Perang Dunia Kedua, isu hak kerakyatan bukan Melayu menjadi satu isu yang kontraversi dan sensitif di kalangan berbagai kaum, terutama orang Melayu[1]. Apabila kerajaan Inggeris membuat pengumuman untuk menubuhkan Malayan Union pada bulan Oktober 1945, yang menggabungkan negeri-negeri Melayu di Semenanjung, mewujudkan satu bentuk pentadbiran yang berpusat dan melonggarkan syarat-syarat kerakyatan bukan Melayu, maka orang Melayu telah bangkit menentang gagasan tersebut[2]. Di bawah Malayan Union, Orang Melayu akan menjadi warganegara secara automatik, manakala orang bukan Melayu yang ingin menjadi warganegara perlu memenuhi kelayakan-kelayakan seperti dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura. Mereka juga boleh diberikan hak kewarganegaraan apabila tinggal 10 daripada 15 tahun di negeri-negeri Melayu atau lima tahun di Singapura [3]. Kelonggaran syarat kerakyatan kepada kaum Cina dan India adalah sebagai inisiatif kepada mereka untuk memutuskan hubungan mereka dengan negara leluhor mereka dan menganggap Tanah Melayu sebagai tanah air mereka sendiri[4]. James Allen pula berpendapat, Malayan Union merupakan satu usaha Inggeris untuk menghukum orang Melayu dan memberi “reward” kepada orang Cina. Perkara ini ada kaitannya dengan sokongan orang Melayu terhadap pemerintahan Jepun selepas British mengaku kalah dan ketidak aktifan orang Melayu dalam membantu Inggeris menentang Jepun. Sebaliknya British terasa terhutang budi dengan orang Cina kerana banyak membantu mereka mempertahankan Malaya dari serangan tentera Jepun dan berkerja sama dengan tentera British menentang Jepun melalui MPAJA semasa Tanah Melayu dijajah oleh Jepun[5]. Penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union bukan sahaja Raja-raja Melayu diminta menyerahkan kedaulatan di negeri masing-masing kepada Baginda Raja Inggeris, tetapi juga dilihat oleh orang Melayu sebagai satu ancaman terhadap hak orang Melayu dan...